Sunday 15 April 2012

BIDANG PSV KBSR

Kandungan Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun dalam empat bidang kegiatan iaitu:

1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional

Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual serta menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.

1. Menggambar
Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:
1.1 Lukisan
1.2 Catan
1.3 Kolaj
1.4 Montaj
1.5 Cetakan
1.6 Resis
1.7 Gosokan
1.8 Stensilan
1.9 Percikan
1.10 Gurisan
1.11 Capan
1.12 Mozek
1.13 Poster

1.1 Teknik Lukisan
    Lukisan merupakan hasil kerja seni yang dibuat untuk meluahkan perasaan berbentuk imej dengan menggunakan media kering atau menggunakan warna yang paling sedikit yang dihasilkan di atas permukaan rata dengan aplikasi garisan, rupa, bentuk, saiz warna dan jalinan. Penggunaan alat dalam sesebuah lukisan terhad kepada media kering seperti pensel, pensel warna, pastel, arang, pen dan dakwat. Setiap proses melakukan garisan, melorek ton dan menggosok juga dinamakan lukisan dan diaplikasikan melalui garisan, rupa, bentuk, saiz, warna dan jalinan ke atas sesuatu hasil kerja dengan pelbagai teknik yang boleh dihasilkan bergantung kepada kesan jalinan sesuatu permukaan dari aras mudah ke aras sukar. 


1.2 Teknik Catan
   Catan adalah satu proses menyapu warna atau cat ke atas sesuatu permukaan rata yang mewakili gambaran pemikiran atau rekaan tertentu sama ada yang nyata atau abstrak melalui sapuan warna ke atas permukaan rata dengan menggunakan berus.  Ianya merupakan satu ciptaan gambar yang berwarna yang diaplikasikan pigmen dari satu media ke atas permukaan seperti media ke atas permukaan seperti kertas, kanvas dan dinding dengan mengaplikasikan warna basah ke atas permukaan 2D dengan teknik menyapu warna basah .Ianya banyak menggunakan warna sebagai bahan pewarna untuk menghasilkan gambar seperti cat poster, cat air, cat minyak, cat tempera, cat gouache dan cat akrilik dengan pelbagai . jenis warna dan cara-cara mewarna dengan betul.


1.3  Teknik Kolaj
    Kolaj bermakna potong, koyak, gunting, gam dan tampal sesuatu bahan ke atas sesuatu permukaan seperti cebisan kertas-kertas, kain atau bahan lain di atas permukaan 2D yang  mengandungi sebahagian imej seperti gambar foto atau dari cetakan majalah disusun dan ditindih untuk menjadi satu komposisi.  Berbagai jenis bahan dilekat disatu permukaan khas daripada imej yang berlainan dan daripada berbagai media.  Ia juga dapat menghasilkan satu komposisi artis daripada imej atau gambar yang berlainan, latarbelakang yang berbeza dan daripada berbagai warna dan corak berjalinan dihasilkan  secara ‘superimpose’ di antara satu sama lain dengan menggam berbagai elemen supaya menjadi satu gambar bagi sesuatu tajuk atau tema tertentu.


1.4  Teknik Montaj
    Montaj itu adalah satu teknik menampal dan melekatkan gambar-gambar pada suatu permukaan untuk menimbulkan mesej pengajaran, kecintaan, kecuaian, peperangan. Alam sekitar. Menggunakan potongan gambar-gambar yang berkaitan dari mana-mana media cetak untuk menghasilkan satu tajuk atau tema.  Ia mengandungi sebahagian daripada imej yang ada seperti dalam gambar foto, majalah, cetakan yang disusun supaya bercantum, bertindih, diubahsuai untuk menghasilkan satu imej dengan menggunakan teknik superimpose dengan menyusun berbagai cebisan gambar dengan cara yang kreatif untuk menghasilkan satu hasil karya montaj yang disusun menjadi satu hasil kerja seni.


1.5  Teknik Cetakan
    Cetakan ialah satu proses hasil kerja seni menggunakan dakwat yang dicipta melalui perpindahan dakwat ke atas satu permukaan .  Seseorang pelukis biasanya akan menetukan berapa banyak cetakan yang hendak dihasilkan dalam sesuatu edisi. Merupakan satu proses ulangan imej daripada satu permukaan yang disediakan ke atas sesuatu permukaan lain.  Proses dimana satu hasil kerja seni dicipta dalam beberapa kuantiti .  Imej atau gambar yang dihasilkan dengan menggunakan acuan plat yang dilakukan pada permukaan rata. Proses penerapan blok, plat atau skrin ke atas sesuatu permukaan yang lain. Ianya menggunakan acuan cetakan untk menghasilkan satu atau beberapa siri cetakan.  Perpindahan imej yang berdakwat daripada satu permukaan blok kepada permukaan lain seperti kertas atau kain atau bahan lain.  


1.6  Teknik Resis
    Resis atau dalam perkataan inggeris resis ialah satu aktiviti menggambar yang dihasilkan dari warna basah dan contengan lilin. Ianya satu aktiviti dalam kegiatan menggambar yang menggunakan warna-warna basah dan contengan lilin.  Lilin digunakan untuk menutup kawasan permukaan kertas atau kain.   Ini menyebabkan permukaan kertas yang diliputi lilin tidak akan menyerap warna dan dalam keadaan warna asal.  Resis juga boleh dijalankan dengan cara menggunakan tindihan-tindihan lilin dan menyapu warna dari peringkat warna terang ke peringkat warna gelap.  Teknik ini membolehkan murid meneroka dengan lebih jauh lagi tentang alatan dan bahan dalam kegiatan menggambar.


1.7  Teknik Gosokan
   Gosokan adalah satu proses menggosok dan merekod corak daripada permukaan yang berjalinan.   Ia adalah satu psoses penerokaan murid mula menggambar melalui deria sentuh yang terdapat di sekeliling mereka.  Gosokan adalah satu cara paling mudah dan terbaik untuk merakamkan berbagai jalinan pada sesuatu permukaan.  Apabila salah satu atau kedua-dua objek digerakkan di antara satu sama lain, maka gosokan akan terhasil.  Hasil cetakan dibuat dengan menggosok dakwat, pensel, kapur ke atas sekeping kertas yang diletakkan di atas suatu permukaan yang berjalin.  Satu representasi yang mengandungi salinan dibuat supaya dapat mengembangkan pemahaman dalam penggunaan jalinan dan ton.


1.8  Teknik stensilan
     Bagi teknik ini, rupa bentuk gambar dikeluarkan dari alat stensil dengan sesuatu cara supaya meninggalkan ruang kosong di atas alat stensil tersebut. Apabila bahan warna disapu atas stensil yang diletakkan atas kertas, bahan warna akan melalui ruang yang kosong atau lubang di atas stensil dan diserap oleh kertas. Garis luar pada lubang itu memberi kesan kepada sifat garis luar rupa bentuk yang dihasilkan.


1.9   Teknik percikan
   Percikan adalah salah satu teknik hiasan catan dengan mendetik, mengetuk atau menjentik bahagian bulu berus yang akan menghasilkan kesan ‘a speckled granite- style finish’ yang akan kelihatan lebih moden daripada kesan warna yang lain.  Percikan-percikan halus warna disembur ke serata tempat untuk menghasilkan kesan antik.  Mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka pula percikan ialah titik-titik air atau warna yang berserak-serak ke sana sini setelah air atau warna itu terhempas ke suatu permukaan. Alatan penting yang digunakan ialah berus dari pelbagai jenis, warna-warna basah dan kertas.   Ianya boleh dihasilkan dengan menggunakan berbagai jenis warna dengan kaedah yang berlainan.  


1.10 Teknik Gurisan.
    Gurisan ini merupakan satu karya yang dihasilkan dengan teknik gurisan dengan menggunakan sesuatu objek  atau alat yang tajam untuk mengguris keluar sesuatu bahan yang lembut dari sesuatu permukaan. Permukaan kertas boleh disapu dengan warna krayon secara berlapis-lapis supaya bahan krayon yang tebal melekat di atas kertas.  Alat yang keras atau tajam seperti kayu, paku atau plastik boleh digunakan untuk mengguris pada krayon tebal itu supaya menghasilkan gambar.  Berbagai jenis alat yang keras dan tajam itu akan memberi berbagai kesan yang berlainan pada garisan yang dihasilkan.


1.11  Teknik Capan
    Secara amnya, teknik capan juga boleh digolongkan dibawah kategori cetakan.  Teknik capan ialah cara untuk menghasilkan karya dengan menggunakan bahan yang disapukan warna (cat air atau poster) dan dicatkan ke atas  sesuatu permukaan. Capan boleh dihasilkan dengan berbagai rupa bentuk dengan menggunakan berbagai jenis bahan.  Contohnya adalah seperti capan bahan buangan, capan bahan alam semulajadi ( sayuran, cengkerang). Jalinan berbagai bahan itu akan memberi berbagai kesan jalinan pada hasil capan.


1.12  Teknik Mozek
      Mengikut rujukan daripada kamus Glosari Seni Lukis, mozek boleh didefinisikan sebagai satu reka bentuk atau gambar yang dibuat daripada serpihan kaca, kayu, marmar atau pecahan tembikar. Mengikut sejarah lama, mozek telah diperkenalkan oleh orang Greek. Pada asalnya, mereka mencipta mozek untuk tujuan menghias permukaan lantai. Kini teknik mozek luas digunakan dalam pembinaan bangunan dan aktiviti seni di sekolah. Di peringkat sekolah rendah, aktiviti mozek diperkenalkan dalam subjek Pendidikan Seni. Aktiviti mozek ini sesuai dijalankan secara berkumpulan di dalam kelas di mana kumpulan berlainan menghasilkan tema yang sama tetapi menggunakan teknik berlainan.


1.13   Teknik Poster

           Poster merupakan satu bentuk seni komunikasi perhubungan dan pengiklanan di mana ia berfungsi sebagai pengumuman, pemberitahuan dan pengiklanan. Maka, poster harus dapat menarik perhatian orang ramai  serta dapat menyampaikan mesej dengan jelas, cepat dan berkesan.

Poster boleh dipersembahkan melalui 2 cara:

i. Menggunakan muka taip (huruf) sahaja.

Mukataip dijadikan subjek utama untuk menyampaikan maksud poster. Ada yang bersifat ringkas dan jelas dan ada juga jenis yang lebih simbolik. Jenis mukataip yang digunakan hendaklah bersesuaian dengan tema poster tersebut.

mukataip yang disampaikan dalam bentuk yang lebih simbolik

Mukataip yang ringkas, jelas dan mudah difahami

ii. Menggunakan muka taip bersama ilustrasi dalam bentuk lukisan, gambar atau foto.

Poster jenis ini lebih menarik dan berkesan. Sekiranya maklumat yang disampaikan melalui mukataip tidak dapat disampai dengan jelas mungkin atas faktor bahasa (yang kurang difahami kerana berlainan bangsa) atau usia (yang belum mampu boleh membaca atau terlalu tua untuk membaca) dan sebagainya. Dengan itu, penggunaan ilustrasi adalah yang paling sesuai untuk menyampaikan mesej poster. Ilustrasi hendaklah bersesuaian dan memenuhi sekurang-kurangnya 70% daripada saiz poster, berbanding mukataip bagi poster jenis ini.


Teknik penghasilan Poster

1. Teknik Lukisan : 
menggunakan pen, pensel, pensel warna dan sebagainya.

poster teknik lukisan

2. Teknik catan : 
dengan menggunakan cat air, cat poster, cat akrilik, dan sebagainya
poster teknik catan

3. Teknik kolaj : 
Poster jenis ini menggunakan teknik potong dan tampal. Dengan menampal kertas berwarna, potongan dari majalah atau akhbar, tampalan dari bahan tekstil, benda bercorak dan berjalinan.
poster teknik kolaj

4. Teknik cetakan : 
Cara mencetak dari jenis cetakan timbulan, benaman, planograf, serigraf, capan dan juga cara cetakan komputer.

poster teknik cetakan
5. Teknik campuran : 
Aplikasi dari pelbagai teknik seperti catan, kolaj, lukisan, capan dan sebagainya.





poster teknik campuran

Proses Penghasilan Poster

1. Penentuan tema dan tajuk

2. Mendapatkan maklumat berkaitan tema melalui kajian bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam

3. Memahami tujuan dan mesej yang hendak disampaikan.

4. Membuat beberapa lakaran kasar dan kemudian pilih hasil terbaik.

5. Menentukan jenis iustrasi dan jenis muka taip yang berkesan dan bersesuaian.

6. Merancang skima warna dan memilih kombinasi warna yang dapat menarik perhatian.

7. Menentukan teknik yang sesuai untuk membuat poster tersebut.

8. Penyediaan alat dan bahan.

9. Penghasilan poster berdasarkan teknik dan media yang telah ditetapkan.

Ciri-ciri poster Yang Bermutu

1. Daya penarik yang dinamik.

2. Warna yang berkesan.

3.  Mesej yang jelas dan mengandungi satu tema sahaja.

4. Kesesuaiaan ilustrasi dengan tema.

5.  Pilihan muka taip yang berkesan.

6. Gubahan asli dan unik.

7. Cogankata yang dapat mempengaruhi pembaca.

8. Penggunaan asas seni reka yang bersesuaian.

9. Memberi mesej yang mempunyai nilai-nilai murni.



Contoh-contoh poster




Bidang menggambar ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

2. Membuat Corak dan Rekaan
Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya.

Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan seperti:

2.1 Corak tidak terancang secara:

2.1.1 Pualaman

2.1.2 Tiupan

2.1.3 Titisan

2.1.4 Ikatan dan celupan

2.1.5 Renjisan dan percikan
 

2.2 Corak terancang secara:

2.2.1 Lukisan

2.2.2 Catan

2.2.3 Cetakan

2.2.4 Capan

2.2.5 Lipatan dan guntingan

2.2.6 Resis

2.2.7 Kolaj

2.2.8 Kaligrafi
kaligrafi cina


Bidang membuat corak dan rekaan ini membolehkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.

3. Membentuk dan Membuat Binaan
Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan aspek tersebut murid dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka membentuk dan membina sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan juga mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan seni. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti:

3.1 Arca timbul
3.2 Asemblaj
3.3 Mobail
3.4 Stabail
3.5 Model
3.6 Diorama
3.7 Boneka


3.8 Topeng
      Topeng adalah salah satu daripada kegiatan membentuk dan membuat binaan. Cara penghasilan topeng adalah dalam pelbagai teknik mengikut media yang digunakan iaitu teknik luakan dan ukiran,tampalan dan teknik tebuk. Berikut merupakan proses penghasilan membuat topeng hingga ke peringkat kemasan menggunakan Papier Mashe.




Langkah 1

Koyak kertas surat khabar lama kemudian rendam dalam air sehingga lembut agar mudah untuk dikisar.


Langkah 2
Kemudian kertas papier mache (surat khabar lama) dikisar hingga lumat agar mudah dibentuk dan kukuh.


Langkah 3
Kemudian perah airnya,letakkan kertas yang telah diperah ke dalam bekas kemudian digaul dengan gam cair sehingga sekata agar mudah dibentuk.


Langkah 4
Kertas dikeluarkan dari besen untuk membentuk topeng. 


Langkah 5
Tiup belon ikut saiz dan ikat agar dalam keadaan menjadi bulat. Tampalkan kertas tadi diluar belon separuh sahaja.


Langkah 6
Simpan belon ditempat yang sesuai agar tidak kempis dan biarkan kertas tampalan kering untuk beberapa hari.


Langkah 7
Tanggalkan kertas tampalan kemudian jemur di bawah cahaya matahari hingga kering dan keras dan warnakan topeng mengikut watak yang dikehendaki.

3.9 Origami

Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid membuat rujukan kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

4. Mengenal Kraf Tradisional
Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang melibatkan kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi turun-temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti:

4.1 Alat domestik
4.2 Alat permainan
4.3 Alat pertahanan diri
4.4 Perhiasan diri (ornamen)
4.5 Batik
4.6 Tekat
4.7 Ukiran
4.8 Tenunan
4.9 Anyaman
4.10 Tembikar

4. 10 Tembikar

Tembikar adalah hasil barangan kraf yang diperbuat daripada tanah liat, dibentuk dan dibakar.  Seni tembikar telah wujud di Malaysia sejak beribu tahun dahulu berdasarkan penemuan barang tembikar lama seperti di Gua Cha, Kelantan dan di Sungai Perak.

Terdapat pelbagai bentuk dan jenis tembikar yang dihasilkan di Malaysia. Hampir semua tembikar yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri kegunaan harian. Beberapa buah negeri di Malaysia menghasilkan tembikar. Barangan tembikar yang dihasilkan adalah berbeza dari segi bentuk, corak, dan teknik pembuatan kerana dipengaruhi oleh budaya dan latar belakang si pembuat.

Bentuk tembikar tersebut hanya mempunyai persamaan dari segi susunan motif, ketebalan dan teknik pembakaran bersuhu rendah, dengan permukaan berwarna coklat, hitam dan kelabu gelap. Tembikar tradisi Melayu menjadi lambang kesenian negara dan kini menjadi koleksi yang membanggakan.

Teknik Pembuatan Tembikar:
(a) Teknik picitan
(b) Teknik lengkaran
(c) Teknik kepingan
(d) Teknik Lempar Alin

Proses:
Mari kita teliti proses untuk menghasilkan tembikar.
1.  Tanah liat dijemur dan dikeringkan sebelum ditumbuk menjadi debu.   
     Ayak debu tanah liat untuk mengasingkan batu-batu kecil dan sampah sarap yang terdapat di dalam tanah.
2. Campur debu tanah dengan air dan kacau. Simpan di dalam pasu selama tiga hari.
3. Tanah liat akan mendap. Uli menjadi liut dan lembut.
4. Tembikar boleh dibentuk mengikut kehendak sendiri. Pinggan digunakan untuk proses penyambungan tanah liat yang digelungkan.
5.  Bentuk tembikar dari bawah ke atas, tahap demi tahap.
6.  Semasa membentuk permukaan, tanah liat ditekan dengan kayu di 
     sebelah dalamnya ditahan dengan tangan. Ini bertujuan untuk 
     menguatkan tembikar.
7.  Pisau buluh pula digunakan untuk melicinkan permukaan tembikar. 
    Tekan dan gerakkan bahagian mata pisau dari bawah ke atas.
8. Tapak atau kaki tembikar dibuat secara berasingan. Cantuman bahagian badan dan kepala tembikar siap dibuat semasa tanah liat masih dalam keadaan separuh siap (‘leather hard’).
9. Ragam hias dibuat dengan menggunakan penepek berukir.
10. Tembikar yang siap dibuat akan dijemur sebelum dibakar.
11. Tembikar dikeras secara tanur dedah iaitu dilakukan secara salai
12. Tembikar yang telah siap disalai dimasukkan ke dalam timbunan sekam.
13. Damar disapu di bahagian bawah tembikar bagi mengelakkan tiris.


Jenis Tembikar Tradisional (Labu Sayong):

1) Labu Gondol atau Labu Air
2) Labu Kepayang atau Labu Pucung
3) Labu Gelugur
4) Labu Tanah
5) Labu Panai
6) Labu Kepap
7) Labu Tela
8) Labu Leper atau Labu Bocong


Reka Bentuk Tembikar Tradisional:
Reka bentuk tembikar dari luar tidak mempengaruhi teknik pembentukan dan penciptaan tembikar orang Melayu. Teknik pembentukan dan penciptaan orang Melayu tetap pada tahap teknologi primitif. Dengan teknik yang serba sederhana, tembikar dibakar dalam suhu biasa tanpa ukuran tertentu. Tukang Melayu dapat melahirkan ciptaan yang unik terutama dari segi rupa bentuk labu dan ragam hias yang mempunyai nilai dan ciri-ciri tersendiri.

Dari segi bentuk, tembikar yang dikumpul di muzium khususnya di Muzium Negara dan Muzium Taiping telah dapat dikesan tentang kepandaian orang Melayu membentuk dan mencipta, iaitu perkembangan daya Ukiran serta tingkatkebudayaan. Walaupun rupa bentuk tembikar yang dicipta itu sederhana tetapi ianya penuh dengan nilai-nilai estetika.


Kawasan Perusahaan Tembikar:
1. Kampung Sayong, Kuala Kangsar – Perak.
2. Lenggong, Grik – Perak.
3. Bukit Gantang, Taiping – Perak.
4. Pulau Tiga, Parit, Perak.
5. Kampung Alur Merah – Kedah.
6. Sungai Dua, Seberang Prai – Pulau Pinang.
7. Sungai Puyu, Seberang Prai – Pulau Pinang.
8. Kampung Periuk, Tumpat – Kelantan.
9. Kampung Mambong, Kuala Krai – Kelantan.
10. Kampung Pasir Durian, Hulu Tembeling – Pahang.
11. Kuching – Sarawak



Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam budaya tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan teknik membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

No comments:

Post a Comment

Hoho Angry Anime Smiley